Wednesday, August 26, 2009

KEUTAMAAN MEMELIHARA PERSAUDARAAN



الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُوْنَ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.



Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan melakukan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat Yang Dimuliakan,

Islam memberikan perhatian yang amat penting terhadap persoalan persaudaraan dengan menyuruh umatnya agar sentiasa menjaga dan memelihara ukhuwwah kerana ukhuwwah merupakan asas kekuatan bagi umat Islam. Di samping ia juga menambahkan keimanan dan ketakwaan dalam diri setiap muslim. Sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa membajai hati kita dengan sifat-sifat berkasih sayang terhadap sesama manusia khususnya umat Islam dan semua mahkluk ciptaan Allah s.w.t. dengan memiliki sifat seperti berkasih sayang dan rasa saling percaya mempercayai pada sesama manusia, ianya merupakan landasan kearah mewujudkan masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan saling bekerjasama diantara satu sama lain.



Hadirin Sidang Jumaat Yang Dimuliakan,

Persaudaraan hasil daripada ikatan aqidah yang satu serta rela berkorban melakukan apa sahaja kebaikan untuk orang lain atau saudara seagama merupakan setinggi-tinggi darjat persaudaraan. Dan ini telah dibuktikan oleh Baginda Rasullullah s.a.w. dan para sahabat melalui persaudaraan diantara kaum Muhajirin dan Ansar di Madinah yang merupakan penduduk peri bumi di awal permulaan hijrah Baginda Rasullullah s.a.w. sehingga dapat melahirkan umat yang sanggup berkorban demi untuk suudara seagama dan memberi kekuatan kepada umat Islam.

Kisah mereka telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. dalam surah al-Hasyr ayat 9 :


Bermaksud : " dan orang-orang Ansar yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum kedatangan mereka (orang-orang Muhajirin) mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka. dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkehendak kepada apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu, dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. dan sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhil maka merekalah orang-orang yang berjaya ".

Berdasarkan ayat tersebut, jelaslah bahawa melalui persaudaran sahajalah, dapat melahirkan suasana saling bekerjasama dan sanggup berkorban, melupakan soal kepentingan diri sendiri demi membina kemajuan dan melahirkan kesatuan ummah yang cemerlang terutama dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap sesama manusia ( حَبْلٌ مِن َالناس) dan juga tanggungjawab terhadap Allah ( حَبْلٌُ مِنَ اللهِ ).



Sidang Jumaat Dimuliakan,

Didalam Islam orang-orang yang hidupnya sentiasa menjaga persaudaraan, mereka akan diberikan beberapa keutamaan oleh Allah s.w.t. diantaranya :

PERTAMA : Pada Hari Kiamat, Mereka Akan Berada Di Bawah Naungan Arasy Allah.

Sabda Rasullullah s.a.w. :

"عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُول الله صلى الله عليه وسلم : ( إِنَّ اللهَ تَعَالَى يَقُوْلُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: أَيْنَ الْمُتَحَابُّوْنَ بِجَلاَلِى، اَلْيَوْمَ أُظِلُّهُمْ فِى ظِلِّى يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلِّى)".

Bermaksud : " Sesungguhnya Allah s.w.t. pada hari Kiamat berfirman : (dimanakah orang yang kasih mengasihi kerana keagongan-Ku? Pada hari ini aku akan menaungi mereka didalam naungan-Ku, pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Ku ) " .
( Hadis riwayat Muslim )

KEDUA : Mereka Merasakan Manisnya Iman .

Sabda Rasullullah s.a.w. :

"عَنْ أَنَسْ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النبى صلى الله عليه وسلم قَالَ : (ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلاَوَةَ الإِيْمَانِ : أَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلاَّ للهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِى الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِى النَّارِ)".

Bermaksud : " sesiapa yang memiliki tiga perkara nescaya ia akan dapat merasakan kemanisan iman, iaitu bahawa ia mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih daripada yang lain dan ia mengasihi seseorang hanya semata-mata kerana Allah serta ia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas ia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana ia benci dicampakkan ke dalam api neraka . "
( Hadis riwayat bukhari dan Muslim )


KETIGA : Dosa-Dosa Mereka Diampuni Oleh Allah .

Sabda Rasullullah s.a.w.:

"عَنِ الْبَرَّاءِ رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلاَّ غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَتَفَرَّقَا)".

Bermaksud : " Daripada al-Bara' r.a. katanya : telah bersabda Rasulullah s.a.w. : tiada diantara dua orang Islam yang bertemu maka lalu berjabat tangan kedua-duanya melainkan diampunkan bagi kedua-duanya sebelum mereka berpisah ".
( riwayat Abu Daud dan Tarmizi )

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihani,

Malangnya umat Islam pada hari ini sedang berada dalam satu keadaan yang amat mengelirukan iaitu diantara pegangan ajaran agama dan amalan seharian. Islam menyeru umatnya bersatu padu dan berkasih sayang tatapi realitinya terdapat sebahagian umat Islam pada hari ini berpecah, bermusuh-musuhan, berpuak-puak dan lebih menyedihkan sanggup membunuh sesama sendiri. Semakin banyak seruan yang menyeru kepada kesatuan, maka semakin ketara keretakan dan perpecahan di kalangan umat Islam, dimana silapnya dan bila keadaan ini akan berakhir ?.

Keadaan yang mengelirukan ini ditambah lagi dengan konflik sesama sendiri dengan fitnah menfitnah, tuduh menuduh, hasut menghasut dan benci membenci antara satu sama lain. Keadaan ini sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam yang menganjurkan umatnya berkasih sayang, hormat menghormati, bersatu padu dan saling bantu membantu antara satu sama lain. Firman Allah s.w.t. didalam surah Ali – Imran 103 ِ :

Maksudnya : " dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali agama Allah (Agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa Jahiliyah dahulu,) lalu Allah menyatukan diantara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam,) maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa Jahiliyah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga ) demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya ".


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita membina kembali hubungan persaudaraan yang semakin longgar serta memeliharanya dengan bersungguh-sungguh. sebagaimana contoh yang telah ditunjukkan oleh para sahabat sehingga terbentuk satu umat yang sangat kuat kesatuanya dan mampu mengahadapi pelbagai cabaran dari musuh-musuh Islam. Maka dengan hal yang sedemikian, dapatlah kita umat Islam membina peradaban Islam yang unggul dan cemerlang serta mampu menjadi penyelesai kepada pelbagai persoalan semasa yang berlaku.

Diantara perkara-perkara yang perlu diambil perhatian untuk memantapkan persaudaraan ialah :

1 . Memberi Salam Apabila Bertemu Antara Satu Sama Lain.

Sabda Rasullullah s.a.w. :

"عن أبي هريرة رضى الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (وَالَّذِىْ نَفْسِى بِيَدِهِ لاَ تَدْخُلُوْا الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوْا، وَلاَ تُؤْمِنُوْا حَتَّى تُحَابُّوْا، أَوَلاَ أَدُلُّكُمْ عَلَى شَىْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوْهُ تَحَابَبْتُمْ؟ أَفْشُوْا السَّلاَمَ بَيْنَكُمْ)".




Bermaksud : " Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Sabda Rasullullah s.a.w. : " demi diriku dalam kekuasaan-Nya, kamu tidak akan dapat masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak dikatakan beriman dengan sempurna sehinggalah kamu berkasih saying, sukakah kamu jika aku tunjukkan sesuatu apabila kamu melakukannya nescaya kamu akan berkasih saying ? sebarkanlah ucapan salam di kalangan kami " .

( Hadis riwayat Muslim )


2 . Sentiasa berhubung untuk bertanya khabar samada dengan bertemu secara langsung atau dengan apa sahaja cara perhubungan yang ada pada zaman yang serba canggih dan moden pada hari ini.

3 . Bantu membantu antara satu sama lain.

4 . Malazimkan ziarah menziarahi sebagai satu amalan hidup .



Maksudnya : " Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah diantara dua saudara kamu dan Bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

( surah al-Hujurat : 10 )



بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْن.

No comments:

Post a Comment